Information

Perkongsian dalam blog ini adalah berdasarkan rujukan buku, kitab atau kuliah pengajian untuk manfaat bersama.

Tok Selehong Meminati Ilmu Tasawuf

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Entri kali ini saya ingin kongsikan sedikit sebanyak sejarah ringkas seorang ilmu Islam Tanah Melayu bertaraf Ulama. Beliau yang saya maksudkan adalah Tok Selehong.


Latarbelakang

Nama sebenar tokoh ini adalah Haji 'Abdul Rahman Bin Haji 'Utsman Bin Senik. Selain digelar sebagai Tok Selehong, beliau juga terkenal dengan panggilan Tok Solehor dan Tok Syair ataupun dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Syair kerana kemahirannya dalam mengarang syair.

Lahir pada tanggal 1871 dan kembali ke Rahmatullah pada malam Khamis jam 8.30, 18 Zulkaedah 1353 bersamaan dengan 20 Februari 1935. Jenazah beliau dikebumikan di Kubur Selehong, Tumpat, Kelantan. 

Beliau tergolong dalam 'Ulama 5 Serangkai' kerana seangkatan dengan empat orang ulama tersohor yang lain iaitu Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Serindik dan Tok Kemuning.

Keperibadian

Seorang ulama yang cukup menjaga hubungan rapat dengan Allah SWT. Beliau dikata telah menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran dengan Pondok Selehong yang dijadikan seumpama bilik khusus untuk beribadah kepada Allah SWT.

Beliau merupakan seorang yang warak, zuhud, qanaah dan gemar melakukan kerja-kerja amal dalam masayarakat dan minat melakukan kebajikan.

Sumbangan

Sumbangan beliau dalam arena dakwah cukup besar. Allahyarham mula membuka pengajian pondok untuk menyebar luaskan ilmu Islam pada tahun 1340 Hijrah bersamaan dengan tahun 1921 Masihi.

Dalam banyak-banyak kitab yang diajarkan oleh ilmuan Islam ini, Kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari paling gemar digunakan oleh beliau untuk mengajar anak-anak muridnya. Kitab ini berkisar tentang ilmu Tasawuf yang memberi penekanan dalam pembersihan hati.

Dalam majalah Pengasuh pernah ditulis oleh Ustaz Ismail Awang tentang Tok Selehong ini. Beliau menyatakan:
Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya
Merujuk tulisan Haji Wan Mohd. Shagir Abullah, isi kandungan kitab al-Hikam ini dipelajari melalui gurunya Sheikh Wan Ahmad  Bin Muhammad Zain al-Fathani. Menjejak susur galur sanad pengajian kitab ini pula, Tok Selehong merupakan yang ke 17 daripada pengarang asal iaitu Ibnu Atha'ullah as-Sakandari.

Di zaman Tok Selehong, Majlis Maulidur Rasul di sambut secara besar-besaran waima terdapat pelbagai pendapat berkenaan hal ini. Beliau menjadi pelopor Majlis ini bertujuan memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam jiwa umat Islam khususnya di Tanah Melayu.

Jihad Menuntut Ilmu

Tok Selehong menuntut ilmu dengan ramai guru-guru tersohor di zamannya serta di merata tempat. Guru pertamanya adalah Tuan Guru Haji Malik di Sungai Pinang Kelantan. Kemudian dia mengikuti sistem pengajian pondok di Patani selama tujuh tahun. Di sana beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdullah di Tok Jum.

Sekian lama memondok di Patani, beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah dengan beberapa orang guru yang tersohor. Pernah berguru dengan Sheikh Wan Ahmad  Bin Muhammad Zain al-Fathani.

Pengajian dengan ayah saudara Sheikh Wan Ahmad  Bin Muhammad Zain al-Fathani iaitu Syeikh Wan Daud Bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani) tetap diteruskan biarpun gurunya telah wafat. Tok Selehong meneruskan pengajian demi mendalami beberapa ilmu seperti ilmu Fikah Mazhab Syfie, ilmu qiraat dan lain-lain lagi. Di Mekah beliau menghabiskan masa menuntut ilmu agama selama lebih kurang 18 tahun. 

1 comments:

  1. masyaALLAH orang orang baik yang lebih ingin mendekatkan diri kepasa sang KHOLIQ. sementara saya yang fasiq ini seakan akan kuat untuk menerima siksaan diakhir kelask

    ReplyDelete