Information

Perkongsian dalam blog ini adalah berdasarkan rujukan buku, kitab atau kuliah pengajian untuk manfaat bersama.

Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...


Sebelum ini saya pernah berbual dengan seorang ustaz tentang Ilmu Tasawuf atau Ilmu Sufi, beliau mengatakan percambahan ini telahpun wujud sejak dahulu lagi dan sekarang ini semakin menular ke seluruh negara kita. Bila saya ikuti kuliah, berbincang dan baca beberapa bahan tentang Ilmu Tasawuf ini memang benar apa yang diujarkan oleh ustaz tersebut.


Perkembangan dunia hari ini menyaksikan masyarakat Islam perlu bergabung dengan Gerakan Islam bagi memartabatkan Islam dalam pemerintahan. Adakah Ilmu Tasawuf dan Gerakan Islam perlu bersatu ataupun sebaliknya?


Barangkali ramai dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang tercari-cari apakah hubungan di antara Ilmu Tasawuf dan juga Gerakan Islam.


Hari ini, suka saya kongsikan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pandangan penulis tentang hubungan Ilmu Tasawuf dan juga Gerakan Islam. Susunan ini saya petik daripada buku karangan Lutfi Mustafa El-Batani yang bertajuk Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam terbitan Pustaka Syuhada tahun 2000.



Sepintas Lalu Tentang Ilmu Tasawuf 


Sejarah telah membuktikan bahawa ramai tokoh-tokoh ilmuan dan pejuang-pejuang Islam yang terkenal di peringkat dunia menguasai dan mengamalkan ilmu ini. Umpamanya Imam Ghazali, Imam Shafie, Imam Nawawi, Salehuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh, dan ramai lagi.

Ilmu ini merupakan ilmu kerohanian yang suci dan tinggi tahapnya. Ilmu Tasawuf ini dapat menguatkan minda dan spiritual seseorang sekaligus mengukuhkan aqidah dan keyakinan terhadap Allah SWT.

Penguasaan Ilmu Tasawuf mesti melalui seorang guru yang mursyid di samping merujuk dan membaca kitab-kitab karangan ulama tasawuf yang sebenar. Hanya orang yang bersungguh-sungguh menuntut dan mengamalkan sahaja mampu merasai nikmat ilmu ini.

Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam


Menurut Tuan Guru kemunculan Ilmu Tasawuf dalam ajaran Islam bermula dari hasil perkembangan konsep zuhud yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda r.a. Konsep tersebut mengamalkan cara kehidupan yang sederhana dan lebih memberi penekanan kepada aspek kerohanian dan kebatinan. Konsep ini juga memberi penumpuan kepada persoalan jiwa, bagaimana cara-cara untuk membersihkan jiwa dan cara-cara untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Kehidupan ini merupakan suatu titik perjuangan, perjuangan untuk mencari keredhaan Ilahi, perjuangan untuk membersihkan hati sanubari dan jiwa nurani, perjuangan untuk menyucikan perasaan diri, perjuangan untuk membasmikan kemiskinan rohani dan melenyapkan segala rupa bentuk kejahilan, keraguan, keresahan dan perasaan syak wasangka kepada Ilahi. Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sentiasa mendekatkan diri kepada Ilahi, jiwa yang sentiasa digilap dengan roh keimanan dan ketundukan diri kepadaNya.

Kalaulah umat Islam semua sekali mengambil sikap untuk menyisihkan diri masyarakat kononnya untuk beramal terhadap Tuhannya, siapakah yang mahu mengambil tanggungjawab untuk menyeru manusia ke arah kebaikan? Siapakah yang mahu mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat? Siapakah yang akan mendidik generasi yang akan datang? Siapakah yang berperanan untuk berdakwah menyeru manusia ke jalan Allah dan mengajak manusia beriman kepada Allah.

Penyelewengan Dalam Ilmu Tasawuf


Umat Islam hendaklah mempelajari dan memahami betul-betul konsep pengajian Ilmu Tasawuf ini kerana di dalamnya terdapat beberapa penyelewengan di dalam amalan hidup dan penghayatan hidup yang sebenar.

Penyelewengan yang paling ketara di sana ialah kerana mereka ditimpa oleh penyakit jahil yang menyebabkan mereka tidak mahu mempelajari ilmu-ilmu agama secara mendalam, mereka menganggap cukuplah dengan hanya beramal sahaja seseorang itu pasti akan sampai ke darjat yang tinggi atau ke maqam yang mulia sedangkan mereka sepatutnya faham terhadap apa yang dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mahukan dunia, hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu dan siapa yang mahukan kedua-keduanya, maka hendaklah ilmu.
Dalam kalangan mereka yang mengamalkan kehidupan tasawuf ini terdapat juga yang menganggap perjuangan dan jihad itu tidak diperlukan dalam kehidupan, tetapi apa yang diperlukan ialah jihad menentang hawa nafsu.

Sedangkan, kalau kita rujuk kepada terjemahan Al-Quran dalam surdah At-Taubah, ayat 41 Allah berfirman yang bermaksud:

Dan berangkatlah kamu ke medan juang sama ada dalam keadaan ringan ataupun berat, berjihadlah kamu dengan harta benda dan jiwa raga kamu di jalan Allah, yang demikian itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
Penyelewengan lain dalam pengajian Ilmu Tasawuf ialah membelakangkan kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka lebih suka mengambil pedoman dalam kehidupan dengan berpandukan kepada wali-wali menurut anggapan mereka dan mereka merasa kagum terhadap amalan-amalan atau kebolehan yang ada pada diri para wali-wali tersebut.

Marilah kita hayati pesanan ini. Imam Syafie r.a. pernah berkata yang bermaksud:
Jika kamu melihat lelaki berjalan di atas air dan dapat terbang di udara, janganlah kamu terpedaya dengannya sehingga kamu melihat amalannya terhadap al-Quran dan Sunnah SAW.
Tuntutlah ilmu supaya Allah memberikan hidayah  dan semoga Dia melindungi kita semua. Waalahualam.

Sheikh Abdullah Fahim Mahir Ilmu Falak

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Sekarang ini saya bekerja dan tinggal di Seberang Perai. Salah satu perkara yang membanggakan diri saya berada di sini adalah kerana di Seberamg Perai inilah jenazah seorang Ulama tersohor Tanah Air disemadikan.



Tahukah anda bahawa Pak Lah yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu masa dahulu merupakan cucu kepada seorang ulama besar Tanah Melayu. Ulama yang mempunyai sumbangan besar dalam negara kita ini adalah Sheikh Abdullah Fahim.

Latar Belakang


Nama penuh beliau adalah Abdullah Bin Ibrahim Bin Tahir. Lahirnya di Kota Suci Mekah pada tahun 1286 Hijrah bersamaan dengan 1869 Masihi. Kembali mengadap Ilahi pada tarikh 27 April 1961 Masihi bersamaan dengan 12 Zulkaedah 1380 Hijrah di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Sheikh Abdullah Fahim Mahir Ilmu Falak

Sejujurnya ulama ini mahir dalam pelbagai bidang Ilmu. Antara kepakaran beliau adalah mahir dalam Ilmu Falak. Maka itu, tidak hairanlah mengapa beliau dimohon pendapat untuk menentukan tarikh kemerdekaan bagi negara Melaya. Sebagai makluman, tarikh 31 Ogos 1957 merupakan tarikh yang dicadangkan oleh Sheikh Abdullah Fahim.


Tok Bachok Menghukum Dengan Hikmah

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Seorang lagi Ulama besar yang mempunyai sumbangan besar dalam menyebarkan syiar Islam di Nusantara ini adalah Tok Bachok.


Latar Belakang


Nama penuh beliah adalah Haji Uthman Bin Haji Muhammad. Dilahirkan pada tahun 1868 dan meninggal pada tahun 1953.

Tok Bachok Menghukum Dengan Hikmah


Diceritakan pada suatu ketika, seorang muridnya di sekolah pondok ditangkap kerana merokok. Barangkali, murid tersebut, pelajar-pelajar lain dan guru yang mengajar di sekolah yang sama menyangka bahawa Tok Bachok akan memberi hukuman yang berat kepada pelajar tersebut.

Namun, sangkaan mereka itu semua meleset jauh. Apa yang Tok Bachok lakukan adalah dengan menyuruh pelajar-pelajarnya mengambil puting rokok tersebut diikat dengan seutas tali. Kemudian, tali tersebut ditarik ramai-ramai dan dihumban ke dalam laut.

Sejujurnya, saya tidak pasti apakah hikmah disebalik tindakan yang diambil oleh Tok Bachok itu. Tetapi satu perkara yang saya fikirkan adalah mungkin Tok Bachok mahukan semua orang yang menjadi saksi kejadian itu mengutip iktibar bahawa perbuatan merokok perlu dicegah dan dijauhi oleh semua pihak.

Tok Padang Jelapang Mahir Pelbagai Bidang

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Eksplorasi menjejak sejarah hidup para ulama saya teruskan dengan berkongsi kisah seorang lagi Ulama 5 Serangkai iaitu Tok Padang Jelapang.



Latar Belakang 


Gelaran Tok Padang Jelapang ini adalah kepunyaan Ulama hebat yang bernama Tuan Guru Syeikh Hj Wan Ahmad Bin Haji Wan Abdul Halim. Tokoh ini merupakan anak kelahiran Kampung Palekbang, Daerah Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan pada tahun 1861.


Sumber

http://hanputra.blogspot.com/2008/07/tokoh-tok-jelapang.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Wan_Ahmad_bin_Haji_Abdul_Halim

Tok Selehong Meminati Ilmu Tasawuf

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Entri kali ini saya ingin kongsikan sedikit sebanyak sejarah ringkas seorang ilmu Islam Tanah Melayu bertaraf Ulama. Beliau yang saya maksudkan adalah Tok Selehong.


Latarbelakang

Nama sebenar tokoh ini adalah Haji 'Abdul Rahman Bin Haji 'Utsman Bin Senik. Selain digelar sebagai Tok Selehong, beliau juga terkenal dengan panggilan Tok Solehor dan Tok Syair ataupun dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Syair kerana kemahirannya dalam mengarang syair.

Lahir pada tanggal 1871 dan kembali ke Rahmatullah pada malam Khamis jam 8.30, 18 Zulkaedah 1353 bersamaan dengan 20 Februari 1935. Jenazah beliau dikebumikan di Kubur Selehong, Tumpat, Kelantan. 

Beliau tergolong dalam 'Ulama 5 Serangkai' kerana seangkatan dengan empat orang ulama tersohor yang lain iaitu Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Serindik dan Tok Kemuning.

Keperibadian

Seorang ulama yang cukup menjaga hubungan rapat dengan Allah SWT. Beliau dikata telah menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran dengan Pondok Selehong yang dijadikan seumpama bilik khusus untuk beribadah kepada Allah SWT.

Beliau merupakan seorang yang warak, zuhud, qanaah dan gemar melakukan kerja-kerja amal dalam masayarakat dan minat melakukan kebajikan.

Sumbangan

Sumbangan beliau dalam arena dakwah cukup besar. Allahyarham mula membuka pengajian pondok untuk menyebar luaskan ilmu Islam pada tahun 1340 Hijrah bersamaan dengan tahun 1921 Masihi.

Dalam banyak-banyak kitab yang diajarkan oleh ilmuan Islam ini, Kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari paling gemar digunakan oleh beliau untuk mengajar anak-anak muridnya. Kitab ini berkisar tentang ilmu Tasawuf yang memberi penekanan dalam pembersihan hati.

Dalam majalah Pengasuh pernah ditulis oleh Ustaz Ismail Awang tentang Tok Selehong ini. Beliau menyatakan:
Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya
Merujuk tulisan Haji Wan Mohd. Shagir Abullah, isi kandungan kitab al-Hikam ini dipelajari melalui gurunya Sheikh Wan Ahmad  Bin Muhammad Zain al-Fathani. Menjejak susur galur sanad pengajian kitab ini pula, Tok Selehong merupakan yang ke 17 daripada pengarang asal iaitu Ibnu Atha'ullah as-Sakandari.

Di zaman Tok Selehong, Majlis Maulidur Rasul di sambut secara besar-besaran waima terdapat pelbagai pendapat berkenaan hal ini. Beliau menjadi pelopor Majlis ini bertujuan memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam jiwa umat Islam khususnya di Tanah Melayu.

Jihad Menuntut Ilmu

Tok Selehong menuntut ilmu dengan ramai guru-guru tersohor di zamannya serta di merata tempat. Guru pertamanya adalah Tuan Guru Haji Malik di Sungai Pinang Kelantan. Kemudian dia mengikuti sistem pengajian pondok di Patani selama tujuh tahun. Di sana beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdullah di Tok Jum.

Sekian lama memondok di Patani, beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah dengan beberapa orang guru yang tersohor. Pernah berguru dengan Sheikh Wan Ahmad  Bin Muhammad Zain al-Fathani.

Pengajian dengan ayah saudara Sheikh Wan Ahmad  Bin Muhammad Zain al-Fathani iaitu Syeikh Wan Daud Bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani) tetap diteruskan biarpun gurunya telah wafat. Tok Selehong meneruskan pengajian demi mendalami beberapa ilmu seperti ilmu Fikah Mazhab Syfie, ilmu qiraat dan lain-lain lagi. Di Mekah beliau menghabiskan masa menuntut ilmu agama selama lebih kurang 18 tahun.