Information

Perkongsian dalam blog ini adalah berdasarkan rujukan buku, kitab atau kuliah pengajian untuk manfaat bersama.

Impian Menulis Buku

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera

Sekian lama saya memendam rasa untuk menghasilkan sebuah buku yang boleh menyumbang makruf kepada diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat seluruhnya. Keinginan ini membuak-buak setelah saya tamat pengajian di peringkat sarjana. Namun begitu, disebabkan kesibukan bekerja dan komitmen keluarga membuatkan keinginan ini kadang-kadang tenggelam dan kadang-kadang timbul.


Semangat Yang Pulih

Antara buku yang saya gemar membaca adalah sejarah para ulama. Ulama seperti Imam Shafie, Imam Ghazali, Imam Nawawi dan ramai lagi tokoh ulama yang lahir di tanah Melayu meninggalkan hasil karya penulisan yang tidak kunjung hilang manfaatnya ke atas umat Islam sehingga kini. Setiap kali membaca dan mendengar kisah ulamat tersebut keinginan untuk mengarang kembali meresap dalam diri dan semakin kuat.

Penulisan Yang Diminati

Meskipun bidang yang saya ceburi sejak diperingkat IPT dan sehingga ke alam pekerjaan adalah kerujuteraan namun pengaruh agama Islam yang diterapkan abah mak sejak kecil tidak dapat dipisahkan. Justeru, saya berminat untuk mengarang buku-buku genre keagamaan.

Saya akui tiada ilmu yang boleh saya sampaikan seperti ustaz-ustaz atau ustazah kerana saya hanya mengikuti pengajian Islam secara khusus selama tiga tahun di Sekolah Agama Izzuddin Shah, Ipoh Perak. Selebihnya, saya hanya mengikuti majlis-majlis ilmu di masjid atau surau.

Namun, bila dihayati pesanan Rasulullah SWT yang mafhumnya 'sampaikan daripadaku walau satu ayat' terlintas di hati bagaimana untuk saya amalkan suruhan ini. Saya tidak pandai berkata-kata atau memberi ceramah. Barangkali dengan menulis ini boleh saya mengajak orang buat kebaikan. In sha Allah.

Tulis Sahaja

Dengan kemudahan komputer yang ada pada masa kini, saya cuba menulis apa sahaja yang mampu ditulis. Fenomena bekarya di alam blog semakin menular ke seluruh dunia menyebabkan saya tidak lepas peluang untuk turut bekarya. Selain itu, sebelum ini saya juga pernah menulis beberapa artikel ilmiah untuk penyelidikan sains sosial.

Dari hari ke hari saya cuba menulis dan menulis. Saya teringat pesanan Sasterawan negara kita A. Samad  Said dimana beliau pernah berkata ada 4 tips untuk menulis iaitu membaca, membaca, membaca dan menulis. Tips yang diberikan oleh Sasterawan negara adalah kita perlu banyak membaca barulah kita boleh menulis.

Teknik untuk menulis buku saya gunakan adalah DREW yang saya jumpa dalam internet. DREW merupakan singkatan bagi perkataan Desicion, Research, Edit dan Write.

Saya juga pernah mengikuti kursus penulisan yang diselia oleh penulis best seller Tuan Zamri Mohamad di Politeknik Seberang Perai. Walaupun kursus ini begitu pendek sekali namun ia berkesan buat diri saya. Selepas kursus tersebut saya sempat membeli sebuah buku karangan beliau yang bertajuk Tip Menjadi Penulis Best Seller. Buku tersebut saya baca dan jadikan rujukan saya dalam menulis buku.

Impian Menulis Buku

Pada bulan April 2012 saya terkesima seorang diri ketika membelek-belek buku di sebuah Pesta Buku Habibi di Kedah kerana terlihat sebuah buku bertajuk 'Menyingkap Tirai Syukur'.  

Hati saya yakin bahawa tajuk ini dekat dengan diri saya. Lalu, saya capai buku tersebut dan melihat nama pengarangnya. Alhamdulillah syukur... Allah SWT mengabulkan doa dan merestui usaha saya untuk menulis sebuah buku. 

Pada ketika itu juga saya terbayang mungkin buku saya ini turut terjual di  Pesta Buku Antara Bangsa yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Syukur tidak terhingga ke hadratNya kerana buku sulung saya telah diterbitkan oleh syarikat Must Read Sdn Bhd.

Harapan

Saya masih baharu dalam menulis buku. Masih banyak yang perlu saya pelajari. Harapan saya agar Allah SWT membuka ruang dan peluang kepada saya untuk meningkatkan mutu penulisan. Moga-moga usaha yang kecil ini menjadi amal jariah untuk mengadap Ilahi.

Ribuan terima kasih buat mereka yang sentiasa menyokong dan membantu saya. Ibu, abah, isteri, ummi, bapak, adik-adik dan keluarga yang lain. Terima Kasih Must Read Sdn. Bhd.

0 comments:

Post a Comment