Information

Perkongsian dalam blog ini adalah berdasarkan rujukan buku, kitab atau kuliah pengajian untuk manfaat bersama.

Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera...

Seorang ustaz pernah berbicara tentang Ilmu Tasawuf atau Ilmu Sufi dengan saya. Satu perkara penting yang beliau katakan adalah percambahan ini telahpun wujud sejak dahulu lagi dan sekarang ini semakin menular ke seluruh negara kita. Bila saya ikuti kuliah, berbincang dan baca beberapa bahan tentang Ilmu Tasawuf ini memang benar apa yang diujarkan oleh ustaz tersebut.


Perkembangan dunia hari ini menyaksikan masyarakat Islam perlu bergabung dengan Gerakan Islam bagi memartabatkan Islam dalam pemerintahan. Adakah Ilmu Tasawuf dan Gerakan Islam perlu bersatu ataupun sebaliknya?


Barangkali ramai dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang tercari-cari apakah hubungan di antara Ilmu Tasawuf dan juga Gerakan Islam.


Hari ini, suka saya kongsikan kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pandangan penulis tentang hubungan Ilmu Tasawuf dan juga Gerakan Islam. Susunan ini saya petik daripada buku karangan Lutfi Mustafa El-Batani yang bertajuk Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam terbitan Pustaka Syuhada tahun 2000.



Sepintas Lalu Tentang Ilmu Tasawuf 


Sejarah telah membuktikan bahawa ramai tokoh-tokoh ilmuan dan pejuang-pejuang Islam yang terkenal di peringkat dunia menguasai dan mengamalkan ilmu ini. Umpamanya Imam Ghazali, Imam Shafie, Imam Nawawi, Salehuddin Al-Ayubi, Sultan Muhammad Al-Fateh, dan ramai lagi.

Ilmu ini merupakan ilmu kerohanian yang suci dan tinggi tahapnya. Ilmu Tasawuf ini dapat menguatkan minda dan spiritual seseorang sekaligus mengukuhkan aqidah dan keyakinan terhadap Allah SWT.

Penguasaan Ilmu Tasawuf mesti melalui seorang guru yang mursyid di samping merujuk dan membaca kitab-kitab karangan ulama tasawuf yang sebenar. Hanya orang yang bersungguh-sungguh menuntut dan mengamalkan sahaja mampu merasai nikmat ilmu ini.

Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam


Menurut Tuan Guru kemunculan Ilmu Tasawuf dalam ajaran Islam bermula dari hasil perkembangan konsep zuhud yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda r.a. Konsep tersebut mengamalkan cara kehidupan yang sederhana dan lebih memberi penekanan kepada aspek kerohanian dan kebatinan. Konsep ini juga memberi penumpuan kepada persoalan jiwa, bagaimana cara-cara untuk membersihkan jiwa dan cara-cara untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Kehidupan ini merupakan suatu titik perjuangan, perjuangan untuk mencari keredhaan Ilahi, perjuangan untuk membersihkan hati sanubari dan jiwa nurani, perjuangan untuk menyucikan perasaan diri, perjuangan untuk membasmikan kemiskinan rohani dan melenyapkan segala rupa bentuk kejahilan, keraguan, keresahan dan perasaan syak wasangka kepada Ilahi. Jiwa yang bersih adalah jiwa yang sentiasa mendekatkan diri kepada Ilahi, jiwa yang sentiasa digilap dengan roh keimanan dan ketundukan diri kepadaNya.

Kalaulah umat Islam semua sekali mengambil sikap untuk menyisihkan diri masyarakat kononnya untuk beramal terhadap Tuhannya, siapakah yang mahu mengambil tanggungjawab untuk menyeru manusia ke arah kebaikan? Siapakah yang mahu mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat? Siapakah yang akan mendidik generasi yang akan datang? Siapakah yang berperanan untuk berdakwah menyeru manusia ke jalan Allah dan mengajak manusia beriman kepada Allah.

Penyelewengan Dalam Ilmu Tasawuf


Umat Islam hendaklah mempelajari dan memahami betul-betul konsep pengajian Ilmu Tasawuf ini kerana di dalamnya terdapat beberapa penyelewengan di dalam amalan hidup dan penghayatan hidup yang sebenar.

Penyelewengan yang paling ketara di sana ialah kerana mereka ditimpa oleh penyakit jahil yang menyebabkan mereka tidak mahu mempelajari ilmu-ilmu agama secara mendalam, mereka menganggap cukuplah dengan hanya beramal sahaja seseorang itu pasti akan sampai ke darjat yang tinggi atau ke maqam yang mulia sedangkan mereka sepatutnya faham terhadap apa yang dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mahukan dunia, hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu dan siapa yang mahukan kedua-keduanya, maka hendaklah ilmu.
Dalam kalangan mereka yang mengamalkan kehidupan tasawuf ini terdapat juga yang menganggap perjuangan dan jihad itu tidak diperlukan dalam kehidupan, tetapi apa yang diperlukan ialah jihad menentang hawa nafsu.

Sedangkan, kalau kita rujuk kepada terjemahan Al-Quran dalam surdah At-Taubah, ayat 41 Allah berfirman yang bermaksud:


Dan berangkatlah kamu ke medan juang sama ada dalam keadaan ringan ataupun berat, berjihadlah kamu dengan harta benda dan jiwa raga kamu di jalan Allah, yang demikian itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
Penyelewengan lain dalam pengajian Ilmu Tasawuf ialah membelakangkan kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka lebih suka mengambil pedoman dalam kehidupan dengan berpandukan kepada wali-wali menurut anggapan mereka dan mereka merasa kagum terhadap amalan-amalan atau kebolehan yang ada pada diri para wali-wali tersebut.

Marilah kita hayati pesanan ini. Imam Syafie r.a. pernah berkata yang bermaksud:
Jika kamu melihat lelaki berjalan di atas air dan dapat terbang di udara, janganlah kamu terpedaya dengannya sehingga kamu melihat amalannya terhadap al-Quran dan Sunnah SAW.
Tuntutlah ilmu supaya Allah memberikan hidayah  dan semoga Dia melindungi kita semua. Waalahualam.

0 comments:

Post a Comment