Information

Perkongsian dalam blog ini adalah berdasarkan rujukan buku, kitab atau kuliah pengajian untuk manfaat bersama.

Tuan Tulis Gemar Menulis

Assalamuaikum

Saya berminat untuk  menulis sejarah ringkas berkenaan dengan seorang tokoh ilmuan Islam yang bertaraf wali Allah SWT ini kerana kagum dengan kesungguhan beliau dalam mencari ilmu. Meskipun lahir dalam kalangan orang miskin namun semangat beliau tidak luntur untuk berusaha mencari ilmu. Beliau yang saya maksudkan adalah Tuan Tulis.

Latar Belakang

Nama sebenar Tuan Tulis adalah Ismail Hussein. Menurut sumber, beliau lahir di Negeri Sembilan pada tanggal 1840an dan meninggal dunia dalam tahun 1923. Namun begitu ada juga yang mengatakan beliau kembali ke rahmatullah pada 1922. Beliau pergi ke rahmatullah dalam ketika sedang bertafakur selepas solat subuh 10 Ramadan dalam usia 83 tahun.

Beliau dikatakan menjadi yatim piatu sejak lahir lagi. Pernah berkahwin tetapi hanya tiga hari sahaja dan tidak meninggalkan zuriat serta harta benda. Walaupun begitu, anak muridnya begitu ramai sekali.

Keperibadian

Keperibadian Allahyarham perlu diteladani kita semua yang masih hidup di atas muka bumi ini. Ini kerana beliau  merupakan seorang yang berakhlak tinggi dan bepekerti mulia umpama sebutir manikam yang tetap bercahaya waima terjatuh dalam lumpur. Beliau sering melakukan kerja-kerja kebajikan terhadap masyarakat.

Semasa hayat Tuan Tulis, beliau sering didampingi dan menjadi tempat rujukan masyarakat bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk. Di samping itu, beliau gemar  bergaul dengan orang-orang jahil untuk berdakwah.

Beliau juga tidak berat tulang membantu orang yang sedang dalam kesusahan. Selain itu, beliau seringkali memberi nasihat dan menyebarkan amar makruf nahi mungkar. Di ceritakan bahawa beliau pernah menyajikan anak muridnya dengan tamar ketika mereka sedang bekerja di sawah padi.

Kehalusan akhlak beliau bukan sahaja terbukti dari segi hubungan sesama manusia, tetapi juga dengan makhluk lain seperti binatang. Suatu ketika dalam perjalanan, beliau ternampak sekumpulan semut yang tidak dapat meneruskan laluan kerana terhalang oleh lopak air. Melihat keadaan tersebut, beliau berhenti dan membuat jambatan kecil untuk kumpulan semut itu supaya mereka dapat meneruskan perjalanan.

Tuan Tulis tidak sanggup melihat binatang dikurung sebaliknya dilepaskan. Oleh yang demikian, beliau tidak keberatan memelihara beratus-ratus ekor burung merpati dengan menyediakan tempat tinggal, makanan dan minuman tetapi burung-burung tersebut dibiar terbang bebas.

Tuan Tulis juga menternak kerbau tetapi kebanyakkan orang yang mengenali kerbau Tuan Tulis tidak rungsing jika ternampak kelibat kerbau tersebut. Hal demikian kerana kerbau tersebut tidak mengganggu padi mereka.

Kesungguhan Menuntut Ilmu

Tokoh agama ini begitu tekun menuntut ilmu agama. Kesungguhan yang tergambar daripada tingkah laku beliau adalah kesanggupannya berjalan kaki merantau hingga ke Pahang untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman atau lebih terkenal dengan panggilan Tok Ayah Man. Sebetulnya Tuan Tulis menuntut ilmu agama Islam dengan ramai guru dan di merata-rata tempat seperti Temerloh, Pancur, Sanggang dan juga tempat-tempat lain.

Nama Tuan Tulis menjadi gelaran yang dikenali ramai kerana kerajinan dan kesanggupan beliau  menulis semua kitab serta isu yang terdapat dalam kuliah gurunya. Antara kitab yang pernah beliau salin adalah kitab Tafsir Jalalain dan Tafsir Al-Quran 30 juzuk.

Menurut Saudara Abdul Ghani Said, Kitab Tafsir Jalalain juzuk pertama dan Tafsir Al-Quran 30 juzuk tulisan Tuan Tulis masih ada dalam simpanan Tuan Haji Ismail Hussein, imam Masjid Tuan Tulis. Kitab-kitab tersebut ditulis menggunakan pena yang dibuat daripada bilah segar kabung. Dakwat yang digunakan adalah dakwat campuran arang ara dan getah limau kasturi.

Setiap malam sebelum kuliah bermula, beliau akan menyalin isi kitab yang bakal dipelajarinya pada keesokan harinya. Ada yang mendakwa beliau rajin menyalin isi kitab kerana tidak mampu untuk membeli kitab.Terdapat juga dakwaan yang menyatakan beliau pernah menjadi juru tulis kepada gurunya.

Selain itu, Tuan Tulis menulis seolah-olah membaca kitab-kitab yang hendak dipelajarinya. Sesetengah orang yang memanggil beliau dengan galaran Tuan Tulis kerana sifat perbadinya yang tulus ikhlas dalam menyampaikan dakwah. Ada juga menggelarkan dirinya Tuan Tulis kerana beliau akan menulis di merata tempat. Biarpun di dalam hutan sekalipun, beliau tetap  menulis umpamanya beliau menulis kalimah Allah pada batang, pokok, daun dan batu.

Di sini kita dapat lihat bahawa beliau merupakan seorang yang begitu minat dan menghargai ilmu. Pada pendapat saya apa sahaja dakwaan yang membolehkan beliau mendapat gelaran Tuan Tulis tidak menjadi masalah tetapi perkara penting yang perlu kita ambil iktibar dan contohi adalah kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu.

Sumber

http://muhibmahbub.blogspot.com/2008/05/tuan-tulis-wali-keramat-tersohor.html
http://raja9-wali9.blogspot.com/2011/03/01-tok-pasai-kedah.html
http://muhdhazrie.wordpress.com/2009/08/19/tuan-tulis/
http://lebaikampung.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment